Penginapan pelajar di Kolej Kediaman bagi kemasukan pelajar berkeperluan telah diuruskan oleh Kolej Kediaman dengan kolaborasi bersama pihak Keselamatan dan Pusat Kesihatan Universiti dan iCreate mulai 1-8 Mac 2021. Sepanjang tempoh ini, pelajar diberi kebenaran masuk secara berfasa bagi membolehkan semua pelajar dapat menjalani proses isolasi di bilik penginapan yang disediakan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Bermula dengan penentuan pelajar yang berkeperluan oleh fakulti, maklumat tersebut terus disalurkan kepada pihak kolej Kediaman untuk membolehkan setiap pelajar dijana dalam sistem e2kc. Pelajar yang bersetuju dengan janaan e2kc akan merancang perjalanan pulang ke kampus dan melepasi saringan pihak keselamatan di pintu masuk utama, saringan risiko secara pandu lalu oleh PKU di Ruang Legar Dewan Sultan Mizan seterusnya dibenarkan ke Kolej Kediaman untuk menjalani proses isolasi selama 10 hari di Kolej Kediaman.
Kemasukan ke Kolej Kediaman adalah secara pandu lalu dan kunci diserahkan dengan mematuhi SOP serta jarak sosial yang disarankan. Sepanjang tempoh isolasi, pelajar menggunakan aplikasi i-deliveryUMT yang disediakan oleh i-Create telah dibantu oleh para sukarelawan untuk perbekalan makanan, keperluan harian dan bantuan dari masa ke semasa. Pihak PKU juga memantau tahap kesihatan pelajar melalui pengisian My3k yang dikemaskini oleh pelajar pada setiap hari. Pelajar yang bergejala akan dirawat oleh pihak PKU atau Pejabat Kesihatan berdekatan.
Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah kecaknaan dan tanggungjawab amanah yang telah digalas oleh semua pihak di UMT dalam memastikan green bubble UMT kekal terpelihara sehingga ke hari ini.